Ada 3 perkara perlu dilakukan
1 – Ubah Diri Sendiri.
Kadang-kadang kita sering berfikir bagaimana hendak mengubah sikap anak-anak. Tetapi kita sering terlupa bahawa anak kita adalah cermin kepada diri kita sendiri. Bagaimana mereka melihat kita, begitulah sikap mereka. Adalah kurang baik untuk kita cuba mengubah sikap anak kita sepertimana yang kita mahu sedangkan kita sendiri tidak berubah ke arah itu.
Jangan sesekali terfikir yang kita sudah terlambat untuk mengubah sikap, kerana untuk mengubah sikap ia bergantung kepada kemahuan dan usaha kita sendiri. Tiada kaitan dengan masa atau umur. Jika kita sendiri rasa bahawa kita sudah terlambat, maka sikap yang ada pada anak-anak kita itu sudah tentu tidak dapat diubah lagi.
2- Marah dengan menyebut kebesaran Allah dan dengan nada yang sederhana.
Apabila marah, marahlah dengan menyebut nama Allah. Biasanya apabila kita marah kita sering terlupa bahawa apa yang berlaku itu adalah ketentuan dari-Nya. Dengan menyebut nama Allah kita akan kembali ingat kepada-Nya meskipun dalam keadaan marah. Usah menengking-nengking dengan kuat kerana perbuatan itu hanya akan menyebabkan hati kita semakin panas membakar. Bercakap dengan nada yang sederhana dan tegurlah dengan baik.
3- Banyakkan berzikir, selawat dan mempelajari ilmu agama bersama-sama anak. Tanamkan ke dalam hati kita dan hatinya rasa cinta kepada Allah dan rasul-Nya.
Hanya diri yang kuat ingatannya pada ilahi dan kuat imannya akan menjadi seorang yang tenang. Begitu juga anak-anak. Mereka akan melihat bagaimana kita menghadapi sesuatu situasi. Jika kita sering kelihatan tenang dan bersahaja, mereka juga akan terikut-ikut dengan sikap itu. Namun untuk bersikap tenang kita perlu menyucikan hati dengan selalu mengingati Allah.
Dari persoalan ini jelaslah kepada kita bahawa tiada istilah terlewat dalam mendidik anak-anak mahupun mendidik diri sendiri. Sebab itu Allah sentiasa membuka pintu taubat dan sudi mengampunkan dosa mana-mana sahaja hambanya yang ingin bertaubat. Tidak kira berapakah umur mereka. Manusia sentiasa boleh berubah.
Saya gembira saudari menitikberatkan soal mendidik anak-anak. Ketahuilah bahawa Allah mengurniakan ganjaran yang besar untuk mereka yang menyayangi anak-anak. Di bawah adalah 9 fhadilat mendidik anak yang saya petik dari blog Anakkusoleh.com:
- Ciumlah anakmu kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat.
- Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan, tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang menyukai kanak-kanak.
- Barangsiapa keluar ke pekan Muslim dan membeli barang-barang dan kembali ke rumah dengan buah tangan untuk anak-anaknya, nescaya mendapat rahmat daripada Allah dan tidak diseksa di Akhirat kelak.
- Muliakan anak-anak dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama. Barangsiapa memuliakan anak-anaknya dalam keadaan jahil dia turut menanggung tiap-tiap dosa yang dilakukan oleh anaknya itu dan barangsiapa membekalkan anaknya itu turut diperolehinya.
- Aqrak pernah terlihat Nabi SAW mencium cucu baginda Hassan. Aqrak berkata; “Anakku sepuluh orang banyaknya, namun tiada seorang pun yang pernah aku cium.” Sabda Nabi SAW; “Orang yang tidak menyayangi tidak pula akan disayangi.”
- Barangsiapa ke pasar dan membeli sesuatu barang untuk ahli keluarganya dan dia memikulnya ke rumah; pahalanya seperti dia memikul sedekah untuk orang yang sangat berhajat.
- Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.
- Barangsiapa yang mengembirakan anak perempuannya,darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Orang yang menangis takutkan Allah diharamkan oleh Allah akan api neraka ke atas tubuhnya.
Seorang lelaki bertanya; “Ya Rasulullah, kepada siapakah harus akuberbakti? ” Jawab baginda; “Berbaktilah kepada ibu bapamu.” Kata lelaki itu lagi; “Ibu bapaku sudah tiada lagi.” Sabda Nabi SAW; “Kalau begitu berbaktilah kepada anakmu, ibubapa berhak terhadap dirimu dan anakmu pula berhak ke atas dirimu.”
Subhanallah..Begitu banyak ganjaran yang Allah kurniakan kepada mereka yang menyayangi anaknya. Semoga kita semua mendapat fadhilat yang dinyatakan di atas. InsyaAllah…
SUMBER: DIPETIK DARI Blog WanWMA
0 comments:
Post a Comment