YANG di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin memeriksa perbarisan ketika hadir istiadat keberangkatan di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur, pagi tadi. - Foto AFP |
KEBERANGKATAN pulang Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah pada akhir tempoh perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pagi ini, berlangsung dengan penuh istiadat diraja.
Tuanku Mizan yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 26 April 2007 untuk tempoh lima tahun, berangkat meninggalkan Istana Negara pada jam 11 pagi.
Keberangkatan baginda berdua diiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selaku menteri pengiring dan isterinya, Datin Seri Che Sharifah Ismail.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan isteri, Puan Sri Wan Noorlina Wan Hussin serta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud.
Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah sebelum itu berkenan meluangkan masa bersalaman dengan kesemua 500 petugas Istana Negara, sebelum berangkat ke Dataran Parlimen bagi upacara rasmi keberangkatan pulang baginda berdua ke Terengganu.
Tuanku Mizan yang berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong yang dikenali sebagai 'muskat' turut menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Muskat, persalinan yang berasal dari kerajaan tua Muscat yang kini dikenali sebagai Oman, adalah baju labuh separas paha dan berlengan panjang yang diperbuat daripada benang bulu berwarna hitam dan dijahit dengan sulaman benang emas bercorak awan larat dan bunga raya iaitu bunga kebangsaan Malaysia.
Baginda berdua berangkat meninggalkan Istana Negara dengan menaiki kenderaan rasmi Yang di-Pertuan Agong diiringi seramai tujuh pengiring bermotosikal serta 12 pengiring am diraja daripada Kor Armour Diraja.
Ketika berangkat meninggalkan Istana Negara, baginda melintasi pasukan kawalan kehormat oleh Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja yang terdiri daripada tiga pegawai dan 45 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Mejar Mohd Zaffar Ismail.
Ketika itu juga lagu 'Negara Ku' dimainkan oleh pasukan pancaragam batalion tersebut yang dianggotai oleh 30 anggota lain-lain pangkat. - BERNAMA
notakaki: Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pula dipilih Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya di Istana Negara baru-baru ini. Menjunjung kasih, Tuanku!
0 comments:
Post a Comment